Oleh : Y. Bhg. Dato Haji Ishak bin Haji Baharom
(Bekas Mufti Negeri Selangor)
(Bekas Mufti Negeri Selangor)
Al-Quran
Agama Islam diutus oleh Allah S.W.T. kepada seluruh
umat manusia di muka bumi ini. Sumber atau pokok ajarannya ialah
Al-Quran AlKarim, iaitu sebuah kitab yang tidak ada sedikit pun
kebatilan dan kepalsuan di dalamnya, yang diturunkan oleh Allah dari
langit. Firman Allah yang bermaksud:
" Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya
( tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya) , ia pula
menjadi pentunjuk bagi orang-orang ( hendak ) bertakwa."
(Al-Baqarah : 2)
Al-Quran adalah sebuah kitab yang mengandungi aqidah
(kepercayaan) dan Syariah (undang-undang). Ia membicarakan tentang amal
ibadah dan juga membicarakan tentang perlembagaan atau sistem hidup
duniawi, seperti undang-undang keluarga, hukum jual-beli, peraturan
perbicaraan harian, hukum-hukum yang berhubung dengan jenayah dan
balasannya, dan juga sistem perhubungan antara satu sama lain serta
perhubungan antarabangsa.
Al-Hadith
Di samping Al-Quran sebagai sumber pertama
bagi segala hukum-hakam, terdapat pula hadith-hadith Rasulullah S.A.W.
yang merupakan sebagai penghurai dan penafsir dari Al-Quran. Tiap-tiap
bab atau fasal hukum fiqh, yang di dapati hadith-hadith yang menerangkan
apa-apa yang perlu diterangkan dan dijelaskan sebagaimana firman Allah
yang bermaksud:
"Dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad)
Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada
manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka
memikirkannya."
(An-Nahl : 44)
Rasulullah menerangkan ajaran-ajaran Islam kepada
manusia dengan perkataan-perkataan, perbuatan-perbuatan dan
perakuan-perakuan.
Di zaman Rasulullah manakala orang-orang Islam
menghadapi sesuatu masalah tentang hukum-hukum, mereka terus menemui
Rasulullah dan bertanya kepada junjungan apa yang dimusykilkan.
Rasulullah menjawab pertanyaan mereka dengan wahyu yang diturunkan
kepada junjungan. Firman tuhan yang bermaksud :
"Dan dia (Muhammad) tidak memperkatakan (sesuatu yang
berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.
Segala yang diperkatakan itu (samada Al-Quran atau Hadith) tidak lain
melainkan wahi yang diwahyukan kepadanya."
(An-Najm : 2-3)
Al-Ijtihad
Rasulullah S.A.W. mengajar
sahabat-sahabatnya perkara-perkara yang berhubung dengan agama. Mereka
adalah orang yang baik penerimaan, halus fahaman, benar, jujur dan
ikhlas. Dari itu maka segala percakapan dan perbuatan mereka boleh
diterima dan dibuat pedoman. Rasulullah membenarkan mereka berijtihad,
jika tidak ada nas atau hukum dari Al-Quran dan hadith-hadith. Dengan
syarat tidak terkeluar dari prinsip-prinsip atau peraturan-peraturan
agama yang telah ditetapkan.
Kebenaran dan Permulaan Ijtihad
Rasulullah telah mengutuskan sahabatnya
yang bernama Muaz Bin Jabal ke negeri Yaman sebagai pendakwah, juga
sebagai kadi. Sebelum pemergiannya, Rasulullah telah menemuduganya
dengan sabdanya :
"Wahai Muaz, bagaimanakah engkau menyelesaikan
sesuatu masalah, jika engkau ditanya orang?" Jawab Muaz ,"Aku akan
menghukum dengan hukuman yang didapati di dalam kitab Al-Quran." Tanya
Rasulullah lagi; "Jika tidak ada hukuman dalam Al-Quran?" Kata Muaz;
"Aku akan hukum dengan sunnah Rasulullah(Al-Hadith). "Rasulullah
bersabda lagi : "Jika sekiranya tidak ada dalam hadith?", Jawabnya; "Aku
akan berijtihad." Kemudian Rasulullah S.A.W. menepuk-nepuk dada Muaz
sambil bersabda : "Segala puji bagi Allah yang telah memberi petunjuk
kepada utusan Rasulullah ( Muaz ) denagn perkara yang diredhai oleh
Allah dan Rasulnya."
(Riwayat Imam Ahmad & Tirmidzi)
Inilah pengakuan Rasulullah mengenai ijtihad.
Mengenai penerimaan tuhan dengan hasil ijtihad, jelas dalam sabdanya yang bermaksud :
"Barangsiapa berijtihad dan betul ijtihad maka ia
memperolehi dua pahala. Dan barangsiapa berijtihad dan salah ijtihadnya,
maka ia dapat satu pahalanya sahaja".
Perlunya Kepada Ijtihad
Manakala kehidupan manusia semakin hari
semakin luas dan bercabang-cabang, dan manusia sendiri bertambah-tambah
ramai dari semasa ke semasa, maka bidang ilmu fiqh dengan sendirinya
menjadi luas, kehidupan orang-orang Islam semakin maju. Ajaran-ajaran
Islam telah tersebar luas ke seluruh dunia. Maka banyaklah
peristiwa-peristiwa dan kejadian-kejadian yang berlaku, sedangkan
nas-nas hukum dari Al-Quran dan hadith-hadith nabi ada masa dan
batas-batasnya. Tetapi peristiwa-peristiwa dan kejadian-kejadian tetap
berkembang dengan luasnya tanpa berhenti-henti. Justeru itu maka tidak
dapat tidak, perlu adanya perbincangan hukum dan ijtihad.
Di Zaman Khulafa Ar-Rasyiddin
Di zaman khulafa Ar-Rasyiddin telah zahir
perkara-perkara perumpamaan ijtihad. Di antara mereka yang telah tampil
kemuka dalam konteks ini, ialah Saidina Umar Al-Khattab, dan masa inilah
bidang ilmu fiqh telah menonjol beberapa langkah maju ke hadapan.
Tiap-tiap sahabat nabi mengambil kesimpulan dari
Al-Quran dan hadith sekadar yang mereka dapat, dan memberitahu kepada
orang lain pendapat-pendapat mereka. Dari itu perjalanan ilmu fiqh terus
maju kehadapan lagi.
Di antara sahabat-sahabat nabi yang berijtihad di
Madinah : Saidina Umar Al-Khattab, Saidina Ali, Abdullah Bin Umar, Zaid
Bin Tsabit, Ubai Bin Kaab, Abu Musa As-Asyari dan lain-lain. Sementara
di Mekah pula : Abdullah Bin Abbas. Di Kufah : Abdullah Bin Utbah. Di
Mesir : Abdullah Bin Umar Al-Aash dan lain-lain.
Pepecahan mereka di beberapa negeri adalah
diibaratkan bintang-bintang yang bertaburan di langit, dan mereka adalah
menjadi ikutan umat Islam kerana sifat-sifat mulia dan peribadi yang
tinggi yang dimiliki oleh mereka. Pengiktirafan Rasulullah S.A.W.
terhadap mereka adalah jelas dan tegas. Sabda Rasulullah S.A.W. yang
bermaksud :
"Sahabat-sahabatku adalah laksana bintang-bintang di langit, siapa dari mereka yang kamu ikut nescaya kamu dapat petunjuk."
Ilmu fiqh di kalangan sahabat dan tabiin tidak beku
dengan berpegang kepada lafaz-lafaz nas sahaja, tetapi mengambil kira
sama tentang hukum-hukum untuk menimbang sebab-sebab (alat) masa hendak
menghukum atau memberi fatwa.
Perundangan Terus Berkembang :
Sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. ada mempunyai ramai
murid-murid yang belajar dari mereka. Murid-murid itu digelar tabiin
kerana mereka tidak sempat bertemu dengan Rasulullah, tetapi cuma
berjumpa dengan sahabat-sahabat nabi sahaja, mereka mengikut
ajaran-ajaran Rasulullah dan jalan-jalan sahabat nabi. Apa yang jelas
bahawasanya perpindahan tabiin ke seluruh negeri dan bandar-bandar pada
masa itu menyebabkan ramai menghadapi bermacam-macam peristiwa dan
kejadian yang belum dilalui oleh sahabat-sahabat sebelumnya. Maka sudah
menjadi kewajipan kepada mereka mencari, membahas dan mengkaji
hukum-hukum untuk menghadapi peristiwa itu. Maka dengan itu bertambah
luaslah lagi bidang ilmu fiqh.
Patut disebut bahawa ilmu fiqh sahabat-sahabat para
tabiin tidak beku dengan berpegang kepada lafaz-lafaz nas sahaja, tetapi
ia mengambil kira sama tentang hukum-hukum untuk menimbang akan
sebab-sebab (ilah) masa hendak menghukum itu atau untuk memberi fatwa.
Sebagaimana yang jelas diketahui, bahawa pendapat mereka bermacam-macam
dan berlainan. Ini disebabkan berlainan tempat dan kedudukan negeri
masing-masing. Disamping berlebih kurang tentang memahami maksud
ayat-ayat Al-Quran dan hadith-hadith nabi. Oleh demikian terhasilah
berlainan pendapat di antara satu dengan yang lain maka inilah yang
dinamakan mazhab.
Di antara tabiin yang berijtihad diwaktu itu ialah :
Said Al-Musayyab dan Abdullah bin Umar di Madinah. Yahya bin Said,
Rabiah bin Abdul Rahman, Atha bin Rabah di Mekah. Hassan Al-Basri di
Basrah, Thowas bin Kasan di Yaman, Makhul di Syam.
Di Zaman Umar bin Abdul Aziz.
Pada tahun 100 Hijrah di zaman pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, beliau telah menghantar ulama dan fuqaha ke seluruh negera.
Selanjutnya kerajaan Bani Umayyah telah hilang,
timbul pula kerajaan bani Abasiyah, disamping itu timbul pula
pertelingkahan di antara orang-orang Alawiyyin dengan orang-orang
Abasiyyin. Dan pertelingkahan di antara Syiah dan Khawarij. Turut
berlaku pada masa itu penyambungan di antara pemikiran orang Arab dan
Yunani (Grik Tua), iaitu sebagai natijah dari terjemahan dan pemindahan
ilmu pengetahuan. Di masa itu juga mula disusun sunnah-sunnah nabi,
fatwa-fatwa dan pendapat ulama. Dan ilmu fiqh di waktu itu telah masyhur
ke seluruh pelusuk negeri dan ramailah orang yang mengikutnya dan
beramal dengannya, sebagai natijahnya terdirilah beberapa golongan atau
pengikut fuqaha.
Di zaman inilah nama imam-imam empat serangkai telah
muncul dan temasyhur. Mereka adalah diumpamakan bulan purnama yang
dikelilingi oleh bintang-bintang yang berselerak di sekelilingnya.
Al-Ijma dan Al-Qiyas.
Al-Quran dan Al-Hadith adalah sumber asasi bagi ilmu
fiqh Islam, yang mana pada permulaannya ialah di zaman Rasulullah S.A.W.
, sumber-sumber ini bertambah mengikut peredaran masa dan bidang luas
ilmu fiqh.
Selain daripada Al-Quran dan Al-Hadith ialah pendapat Rasulullah S.A.W. yang sama dinamakan ijma.
Maksud dengan ijma ialah persetujuan atau permuafakatan ulama di atas
satu perkara atau hukum yang tidak ada nas dari Al-Quran dan Al-Hadith
pada satu-satu masa.
Di sana terdapat juga "Al-Qiyas" kerana bahawasanya hukum syara pada gholibnya
mempunyai beberapa ilah atau sebab-sebab yang boleh diketahui, apabila
terdapat hukum yang dinaskan, maka bolehlah dipindahkan hukum itu kepada
perkara yang tidak ada nas jika terdapat sama ilahnya. Seperti wajib
zakat pada padi adalah diqiyaskan daripada gandum, kerana terdapat sama
pada ilatnya, iaitu mengeyangkan dan tahan disimpan.
Maka dapat dibuat kesimpulan, bahawasanya Al-Quran,
Al-Hadith, Al-Ijma dan Al-Qiyas merupakan sumber-sumber hukum yang terus
hidup subur dan menjadi perbendaharaan yang besar yang membuka luas
pintu-pintu bidang ilmu fiqh Islam, ia menambah perbendaharaan, kekuatan
dalam hukum-hukum Islam.
Mazhab-Mazhab Yang Muktabar Dalam Islam.
Sebenarnya mazhab-mazhab dalam Islam adalah banyak,
kerana ulama-ulama yang bekemampuan terdiri daripada sahabat-sahabat
Nabi, para tabiin dan tabi Al-Tabiin yang mempunyai cukup syarat-syarat
dan keperluan berijtihad adalah ramai, tetapi mengikut pendapat ulama,
bahawasanya mazhab yang muktabar yang boleh dibuat pendapat dan beramal
untuk umum cuma empat mazhab sahaja, mengikut qaul yang rajih. Iaitu :
Mazhab Syafie, Maliki, Hanafi dan Hanbali kerana keempat-empat mazhab
ini ada mempunyai peraturan-peraturan, kaedah-kaedah dan panduan-panduan
yang sempurna lagi lengkap yang ditulis oleh mereka dalam kitab-kitab
mereka. Yang mana menjadi bahan-bahan yang tak ternilai dalam
perbendaharaan undan-undang Islam. Adapun mazhab-mazhab yang lain, maka
tidak ada mempunyai kaedah-kaedah yang cukup yang dibukukan untuk
dijadikan panduan dalam bidang perundangan sebagaimana yang empat tadi.
Ada juga mazhab-mazhab yang lain lagi selain daripada
mazhab yang empat, tetapi tidaklah begitu terkenal dan lengkap dan
tidak mempunyai kaedah-kaedah usul-usul yang dibukukan.
Mazhab Hanafi
Adalah diasaskan oleh Nu`man Bin Tsabit.
Lahir pada tahun 80 Hijrah. Beliau adalah seorang berjiwa besar dan
berakhlak tinggi. Juga beliau seorang yang bijak dalam ilmu pengetahuan.
Cekap memberikan satu-satu keputusan bagi masalah-masalah atau problem
yang dihadapi. Oleh kerana beliau seorang yang berpengetahuan, bijak dan
berakhlak mulia, maka beliau dapat membuat perhubungan yang rapat
dengan pembesar negara. Ia mendapat tempat yang baik dalam masyarakat
dan berjaya menyandang jawatan yang tinggi dalam pemerintahan.
Iman Abu Hanifah terkenal sebagai seorang alim dalam
ilmu fiqh di negeri Iraq. Dan beliau juga sebagai ketua ahli fikir (ahli
ra`u). Golongan cerdik pandai pada masa itu menyifatkan beliau sebagai
"akal dalam ilmu pengetahuan".
Semasa hidupnya, beliau dapat menuruti bermacam-macam
pertumbuhan dan perkembangan ilmu pengetahuan, baik di bidang ilmu dan
politik mahupun ilmu agama. Zaman beliau memang dikenali sebagai zaman
pertumbuhan politik, agama dan ideologi-ideologi dan ism-ism yang
bermacam-macam. Beliau dapat hidup dalam dua zaman pemerintahan Umaiyah
dan juga di zaman pemerintahan `Abasiyah.
Sesungguhnya Abu Hanifah seorang yang luas pemikiran
dan banyak ilmu. Tetapi beliau sangat merendah diri. Beliau tidak
terpedaya dengan fikirannya sendiri. Dan beliau pernah berkata
"Bahawasanya pendapat kami adalah salah satu dari pendapat dan jika
didapati pendapat yang lebih baik dan tepat maka pendapat itu lebih
benar dan utama".
Abu Hanifah seorang yang berperibadi tinggi dalam
majlis perbahasan. Beliau tidak sekali-kali menghina mereka yang
berbahas dengan mereka. Mereka tidak pernah mengkafirkan sesiapa yang
berbahas dengannya, kerana beliau berpendapat : "Sesiapa yang
mengkafirkan seseorang maka ia terlebih dahulu kafir dari orang itu."
Mazhab Maliki
Pengasas mazhab Maliki ialah Malik Bin Anas, lahirnya
di kota Madinah dalam tahun 93 hijrah. Beliau dilahirkan 13 tahun
selepas lahirnya Iman Abu Hanifah. Semasa hidupnya, Iman Malik dapat
menurut dua corak pemerintahan : Umaiyah dan Abasiyah, di mana
perlingkahan sengit dua pemerintahan sering terjadi. Di masa itu juga
pengaruh ilmu pengetahuan Arab, Parsi dan Hindi tumbuh dengan suburnya
dikalangan masyarakat di waktu itu.
Iman Malik menghafaz Al-Quran dan hadith-hadith
Rasulullah S.A.W. Ingatannya sangat kuat dan menjadi adat kepadanya.
Manakala beliau mendengar hadith-hadith daripada guru-guru, terus
disimpulkan tali bagi menyenangkan perhitungan bilangan hadith-hadtih
yang sudah beliau pelajari.
Pada permulaan hidup Imam Malik bercita-cita menjadi
biduan tetapi ibunya menasihatkan supaya beliau meninggalkan cita-cita
itu, dan meminta beliau supaya mempelajari ilmu fiqh, beliau menerima
nasihat ibunya dengan baik.
Iman Malik adalah seorang guru yang miskin, pernah
satu hari kayu bumbungnya rumahnya telah roboh, terus beliau menjual
kayu itu untuk mendapat sedikit wang untuk perbelanjaan hidupnya, tetapi
pada akhirnya beliau dimurahkan Allah akan rezekinya sehingga beliau
menjadi seorang kaya. Setelah baliau menjadi seorang kaya, beliau
memakai pakaian yang mahal dan memakai bau-bauan yang baik. Imam Malik
adalah seorang yang aktif dalam menuntut ilmu. Beliau banyak membuat
perhubungan dengan ahli-ahli hadith dan ulama. Imam Malik dianggap
sebagai ketua atau imam bagi ilmu hadith. Sanad-sanad
(sandararan-sandaran) yang dibawa oleh beliau termasuk salah satu
sanad-sanad yang terbaik dan benar. Beliau seorang yang dipercayai, adil
dan kuat ingatannya, cermat dan halus memilih rawi-rawi hadith. Pendek
kata Imam Malik adalah orang yang tidak diragui dalam konteks ini.
Imam Malik tetap berpegang teguh S.A.W. dalam
menganggap hadith-hadith itu petunjuk, penyuluh kepada manusia. Tidak
harus seseorang meninggalkan dan membelakangkannya.
Sebelum Imam Malik menjadi guru, beliau lebih dahulu
mendalami dalam bidang pelajaran sehingga kadang-kala beliau tidak
tidur. Setelah fikiran beliau matang dan benar-benar berkebolehan
barulah beliau mengajar.
Hukum-hukum fiqh yang diberikan oleh Imam Malik
adalah berdasarkan Al-Quran dan hadith. Imam Malik menjadikan hadith
sebagai pembantu bagi memahami Al-Quran, Imam Malik sangat cermat dalam
memberi penerangan dan hukum-hukum. Beliau berfikir panjang sebelum
memberi satu-satu hukum atau fatwa. Beliau pernah berkata : "Kadang-kala
aku berjaga satu malam suntuk untuk mencari jawapan bagi satu-satu
soalan yang dikemukakan kepada aku". Apabila beliau ditanya satu-satu
hukum, beliau terus berkata kepada penanya "Pulanglah dahulu supaya aku
dapat berfikir". Ramai manusia merendah-rendahkan Imam Malik dengan
sebab beliau melewatkan menjawab sebarang pertanyaan. Imam Malik
menangis dan berkata "Aku bimbang kerana aku akan disoal satu hari nanti
dalam ( hari kiamat)".
Mazhab Syafie
Mazhab Syafie adalah diasaskan oleh Muhamad bin Idris
Al-Syafie. Beliau dilahirkan pada tahun 105 hijrah, sebuah bandar yang
bernama Ghizah di Palestin . Beliau seorang miskin, tetapi kaya dengan
semangat dan bercita-cita tinggi dalam menuntut ilmu. Beliau banyak
mengembara dalam menceduk dan menimba ilmu. Imam Syafie dianggap seorang
yang dapat memadukan antara hadith dan fikiran dan membentuk
undang-undang fiqh. Pada permulaannya beliau cenderung dalam bidang
sastera dan syair-syair, tetapi beliau mengubah pendiriannya kepada
mempelajari ilmu fiqh dan hadith hingga sampailah beliau ke kemuncak
yang paling tinggi dalam bidang tersebut.
Imam Syafie ialah imam yang ketiga mengikut susunan
tarikh kelahiran. Beliau adalah penyokong kepada ilmu hadith dan
pembaharu agama (mujaddid) bagi abad yang ke-2 hijrah. Imam Ahmad Bin
Hanbal pernah berkata : diceritakan kepada nabi muhamad S.A.W. bahawa
Allah menghantar kepada umat ini seorang pembaharu kepada agama, Umar
Bin Abdul Aziz dihantar untuk abad yang pertama dan aku harap Imam
Syafie merupakan mujadid abad yang kedua.
Nama asalnya ialah Muhamad Bin Idris, lahir di bandar
ghizah di Palestin pada tahun 105 hijrah, inilah tarikh paling masyur
dikalangan ahli sejarah. Beliau adalah keturunan Bani Hashim dan Abdul
Mutalib. Keturunannya bertemu dengan keturunan Rasulullah S.A.W. pada
datuk Rasulullah iaitu Abdul Manaf.
Semasa muda Imam Syafie, hidup dalam kemiskinan,
hingga beliau terpaksa mengumpul batu-batu, belulang, pelepah tamar dan
tulang-tulang untuk ditulis di atasnya, terkadang-kadang beliau terpaksa
pergi ke tempat-tempat perhimpunan orang ramai meminta kertas untuk
menulis pelajarannya.
Imam Syafie menghafaz Al-Quran dengan mudah, iaitu
semasa beliau masih kecil lagi, beliau menghafaz dan menulis
hadith-hadith. Beliau sangat tekun mempelajari kaedah-kaedah dan nahu
bahasa Arab. Untuk tujuan itu beliau pernah mengembara ke kampung dan
tinggal bersama dengan puak Hazyal selama 10 tahun. Kerana puak (
kabilah ) Hazyl terkenal suatu kabilah yang paling baik bahasa Arabnya.
Imam Syafie banyak menghafaz syair-syair dan qasidah dari puak Hazyl,
begitu juga beliau banyak menumpukan masa dan tenaganya kepada sastera
dan sejarah pada masa mudanya, tetapi Allah menghendaki dan melorongkan
kepadanya dalam bidang ilmu fikah.
Di antara sebabnya, pada suatu hari Imam Syafie
bersyair sambil menunggang kuda bersama-sama beliau seorang lelaki. Lalu
berkata lelaki itu, tidak sesuai engkau bersyair kerana itu boleh
menjatuhkan maruah. Alangkah baiknya belajar ilmu fiqh? Kata-kata itu
sangat memberi kesan kepada Imam Syafie. Dari sejak itu beliau
menumpukan masa dan tenaga kepada ilmu fiqh.
Salah seorang guru Imam Syafie dalam pelajaran ilmu
fiqh dan hadith ialah Imam Malik. Ilmu fiqh yang dibawa oleh Imam Syafie
adalah merupakan satu zaman perkembangan ilmu fiqh dalam sejarah
perundangan Islam kerana beliaulah yang menghimpunkan atau menyatukan
ilmu fiqh ahli-ahli akal dan fikir dengan ilmu fiqh ahli-ahli akal dan
hadith. Ilmu fiqh Imam Syafie juga merupakan ikatan sunnah dan qias, dan
pemikiran dengan beberapa pertimbangan dan sekatan sebagaimana ia juga
ilmu fiqh yang menetapkan cara-cara atau peraturan untuk memahami
Al-Quran dan Al-Hadith. Juga ia menetapkan kaedah-kaedah pengeluaran
hukum dan kesimpulannya. Lantaran itulah beliau berhak dianggap penaja
bagi ilmu usul fiqh.
Mazhab Hanbali
Nama bagi pengasas Imam Hanbali ialah
Ahmad Bin Mohamad Bin Hanbal. Lahir di bandar Baghdad pada tahun 164
hijrah. Ibnu Hanbal adalah dari keluarga miskin, kerana bapanya tidak
meninggalkan di waktu matinya melainkan sebuah rumah yang kecil yang
didiaminya. Untuk menampung kehidupannya, belaiu terpaksa bekerja di
kedai jahit untuk mengambil upah.
Ibnu Hanbal menuntut ilmu sepanjang hayatnya. Beliau
tetap mempelajari hadith sehingga beliau menjadi seorang imam, orang
pernah berkata kepadanya: "Sampai bilakah engkau nak menuntut ilmu?
Padahal engkau sudah mencapai darjat paling tinggi dan engkau telah
menjadi imam bagi seluruh umat Islam?" Imam Ibnu Hanbal menjawab: "Aku
menuntut ilmu dari hujung dunia hinggalah ke pintu kubur." Memang benar
beliau tidak pernah jemu menuntut ilmu sepanjang hayatnya. Imam Syafie
adalah salah seorang dari guru Ahmad Bin Hanbal. Ibnu Hanbal bertemu
Imam Syafie semasa di Hijaz, sewaktu beliau menunaikan fardu haji, Imam
Syafie mengajar di Masjidil Haram. Ibnu Hanbal mempelajari daripadanya,
kemudian mereka bertemu pula pada kali kedua di Baghdad, Imam Syafie
menasihatinya supaya beliau mengikutnya ke Mesir. Imam Ibnu Hanbal
bercadang mengikutinya tetapi niatnya tak sampai.